Setiap perilaku dan pemikiran manusia yang kompleks dipengaruhi oleh sistem nilai yang menjadi nadi kepada kehidupan manusia. Secara nisbinya, sistem nilai yang telah bertapak kukuh dalam kosmologi pemikiran masyarakat telah distrukturkan sama ada melalui pemikiran atau diperakui oleh hukum sosiologi manusia dan diiktiraf sebagai norma-norma yang diraikan serta dihormati oleh sesuatu masyarakat. Walau bagaimanapun, perubahan yang berlaku dalam masyarakat disebabkan oleh keperluan manusia yang berbeza mengikut suasana dan realiti dan perkembangan tamadun manusia yang silih berganti menyebabkan berlakunya dikotomi nilai yang dipolemikkan oleh ahli-ahli masyarakat yang mewakili pelbagai bangsa dan kaum.
Masing-masing berpegang dengan norma dan sistem nilai yang tersendiri sehingga ada yang merendah-rendahkan dan berpandangan skeptikal di antara satu sama lain. Namun begitu, di pandang pada dimensi yang positif pula, perubahan dan perbezaan masyarakat di dunia tentang kepelbagaian sistem nilai yang didokong tersebut dilihat sebagai satu perkembangan yang positif kerana ianya telah menyumbang dan memperkayakan serta melengkapi di antara satu sama lain dalam memahami falsafah nilai. Secara tidak langsung kematangan sistem falsafah ini menjadi asas untuk memahami teoritikal nilai-nilai murni yang diterima oleh masyarakat umum. Ia memberi gambaran bahawa falsafah nilai-nilai murni yang ditaja oleh pemikiran manusia sentiasa berubah-ubah dan tidak konsisten dan sentiasa dibuka untuk ditafsirkan mengikut selera keperluan masyarakat.
Apabila Islam disyariatkan di atas muka bumi ini, ajarannya membawa rahmat kepada manusia, memperbaiki sistem pembangunan manusia dan memerdekakan fizikal serta fisiologi manusia kepada satu cara hidup yang sempurna. Doktrinasi ajarannya juga telah berjaya memartabatkan peradaban manusia sebagai tamadun manusiawi yang unggul dari aspek fizikal dan ma`nawi. Menyentuh tentang falsafah nilai dan norma hidup masyarakat, ajaran Islam bersikap positif terhadap sistem tersebut bahkan bersikap toleransi selagimana tidak bercanggah dengan prinsip syariat Islam. Sebagai contoh, pada ketika Islam diturunkan di bumi Arab, masyarakatnya pada masa tersebut telahpun mempunyai sistem falsafah tradisi nilainya yang tersendiri.
Tradisi nilai yang terpuji yang dipraktikkan oleh masyarakat Arab masih lagi diterima oleh Islam dan dianggap sebagai relevan dengan sistem nilai Islam. Nilai-nilai mulia masyarakat Arab seperti menepati janji, memuliakan tetamu dan nilai-nilai murni yang lain masih lagi dikekalkan dalam konsep nilai-nilai murni Islam. Oleh yang demikian jelaslah bahawa sesuatu tingkah laku atau asas pemikiran manusia yang menepati dengan sistem nilai Islam diterima sebagai perbuatan yang Islamik. Dari skala mikro pula, apabila sesuatu nilai atau norma yang dilazimi menjadi satu bentuk budaya yang dihormati dan diiktiraf oleh masyarakat Islam secara menyeluruh ia dikenali sebagai `urf [1]yang mengikat kehidupan masyarakat.
Jika dilihat kepada sistem nilai-nilai murni dalam skop syariat Islam, ia berasaskan kepada order tauhid yang menjadi acuan kepada falsafah sistem nilai. Melalui konsep pandang semesta tauhid, nilai-nilai murni dilihat bersifat sejagat atau universal dan relevan serta realistik dalam memenuhi komponen keperluan kehidupan manusia. Umumnya, nilai-nilai tersebut adalah bersumberkan wahyu serta diadun dengan pemikiran manusia untuk diterjemahkan secara praktikal.
Isi kandungan nilai-nilai tersebut juga perlu mengambilkira kepentingan dan kemaslahatan umum dan bukannya untuk kepentingan kelompok masyarakat tertentu sahaja. Atas asas inilah nilai-nilai murni yang berpaksikan ajaran agama disifatkan sebagai `alami kerana ianya tidak diwakili oleh kepentingan-kepentingan tertentu sebaliknya penghayatan dan pelaksanaannya dapat memberi jaminan kesejahteraan kepada umat sejagat.
Oleh kerana itu, Islam secara objektifnya memberi penekanan kepada manusia untuk meletakkan doktrin nilai-nilai murni sebagai asas keperluan manusiawi dalam mengurus dan mentadbir alam ini untuk melangsungkan survival ummah. Nilai-nilai murni merupakan santapan rohaniah dalam proses untuk melahirkan individu muslim yang muttaqin. Sebagai analoginya, nilai-nilai murni yang dicernakan dalam jiwa dan pemikiran seseorang ditamsilkan sebagai sinaran matahari yang menerangi alam. Cahayanya membawa manfaat yang sangat berguna kepada semua makhluk. Kekuatan dalaman (instrinsik) manusia yang disuntik dengan nilai rohaniah akan memantulkan pola perlakuan yang cenderung kepada perkara ma`ruf dan benci kepada kemungkaran seperti yang telah difardhukan oleh syara`. Ia juga dianggap sebagai daya atau momentum yang menjana kuasa dalaman manusia untuk bertindak secara positif sepertimana yang ditegaskan falsafah akhlak Islam.
Manusia yang diciptakan oleh Allah S.W.T. telah dianugerahkan dua unsur penting untuk menghidupkan lagi potensi insan sebagai khalifatulard. Unsur-unsur tersebut dikenali sebagai akal dan nafsu. Dengan adanya pemberian tersebut, akal tidak boleh bertindak secara bersendirian kerana ia memerlukan lokus kawalan iaitu perlu diberi tunjuk arah oleh wahyu. Melalui pedoman dan taufiq Ilahi inilah manusia akan selamat dan kehidupannya bertambah berkat. Ini kerana, akal tanpa bimbingan wahyu selalu tersalah dalam membuat pertimbangan kerana dipengaruhi oleh pelbagai faktor dalaman seperti nafsu dan faktor luaran seperti unsur-unsur persekitaran dan logik.
Unsur kedua yang dianugerahkan kepada manusia ialah nafsu. Sifat asasi nafsu ini lazimya cenderung membawa manusia kepada nilai-nilai haiwani yang menyukai kepada keseronokan keduniaan. Kehendak nafsu yang membuak-buak dan tidak terbatas kepada keperluan duniawi sentiasa mengaburi pandangan mata hati manusia daripada mencintai perkara-perkara kebaikan. Implikasinya, apabila nafsu kebinatangan ini menguasai diri manusia ia akan mencetuskan konfik dalaman[2] dan mematikan hati untuk mengenali pintu kebenaran yang hak.
Akibatnya, jiwa manusia tersebut diruntun dengan perasaan keluh kesah, putus asa, bertindak secara bebas meskipun bertentangan dengan nilai dan etika dan pelbagai perkara kejahatan yang lain. Walaupun pada anggapan golongan manusia tersebut dikatakan telah berjaya memuaskan kehendak nafsunya, namun secara de factonya tindakan tidak bermoral yang dilakukan tersebut mematikan roh insaniah dan menyuburkan lagi nafsu kepada unsur-unsur perlakuan jahat.
No comments:
Post a Comment